Friday, August 21, 2009

Bakti Rumah Ibuku Sayang

Teks dan gambar Mohd Amin Jalil



RUMAH Ibuku Sayang di Taman Panchor Jaya Paroi, dekat Seremban, Negeri Sembilan, bukan saja sebagai tempat menumpang kasih anak yatim tetapi pusat pendidikan ilmu agama bagi pembentukan akhlak yang baik.

Rumah itu diusahakan Rayah Abd Ghani, 70, sejak 2006 dan kini menempatkan 12 anak yatim berusia antara 10 hingga 17 tahun, di samping 10 warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Selain rumahnya sendiri dijadikan tempat belajar dan pejabat pentadbiran, beliau turut menyewa dua bangunan berhampiran sebagai asrama warga emas dan anak yatim terbabit.

Menurutnya, idea untuk mengusahakan rumah kebajikan itu timbul pada 2004, hasil pengalaman mengajar agama di surau dan keprihatinannya terhadap nasib anak yatim.

"Dari situ timbul niat untuk menjadikan kediaman ini sebagai rumah kebajikan dan pengembangan ilmu bagi membela nasib anak yatim yang kehilangan tempat bergantung.

"Mereka duduk di sini seperti satu keluarga, selain saya sendiri mengajar ilmu agama, kami juga membawa guru agama bertauliah dari luar untuk memberikan ceramah agama dan motivasi," katanya yang bersara daripada guru agama sejak 1996.

Rayah berkata, harapannya untuk melahirkan modal insan cemerlang sesuai dengan status mereka sebagai generasi masa depan negara.

Dia kini dibantu lima sukarelawan selain dua anaknya untuk mengendalikan rumah kebajikan itu tanpa mengenakan bayaran.

Menurutnya, keinginannya yang tinggi untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat antara faktor utama selain amal jariah.

Dia yang kini meneruskan pengajian Sarjana Muda al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata generasi muda yang sering dikaitkan dengan gejala sosial amat membimbangkan.

"Justeru, saya berusaha membimbing supaya hala tuju mereka tidak tersasar, sebaliknya dapat membina masa depan gemilang.

"Bagi warga emas, mereka berpeluang menghabiskan sisa hidup dengan mendalami ilmu agama dan melakukan amalan baik sebagai bekalan," katanya.

Zaiton Baharom, 65, dari Mantin berkata, sejak tinggal di rumah itu dua tahun lalu, banyak masa digunakan untuk menimba ilmu agama.

"Sebelum ini peluang belajar agama terbatas kerana sibuk membesarkan anak, tetapi kini banyak masa digunakan dengan membaca al-Quran," katanya.

Hamidah Omar, 70, dari Linggi, berkata sejak menjadi penghuni di rumah itu, jiwanya tenang kerana setiap masa lapang dipenuhi dengan aktiviti agama.

Helmi Fadli, 14, dari Rompin, berkata dia bersyukur kerana ada pihak sudi menjaganya selepas kehilangan ibu bapanya lebih dua tahun lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata, dia selesa di rumah itu kerana perhatian yang diberikan.

"Di sini, kami ibarat adik-beradik dan diberikan bimbingan sempurna," katanya.

Muhammad Rahimi Abd Rahim, 12, dari Jempol, menyifatkan mereka yang menetap di rumah itu sebagai keluarga kedua dan berazam membalas jasa mereka dengan berusaha gigih untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Saya perlu tabah menghadapi semua cabaran dan bersyukur kerana bernasib baik ditempatkan di sini.

"Semua yang ada di sini seperti ahli keluarga saya sendiri, kami juga tidak kekeringan kasih sayang dan perhatian," katanya.

Orang ramai atau badan korporat yang mahu menderma kepada Rumah Ibuku Sayang, hubungi alamat No 881 & 882, Jalan Persiaran Semarak 2, Taman Panchor Jaya, 70400 Seremban Negeri Sembilan atau talian 019-6041096/06-6795751.

http://www1.bharian.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20090227094402

No comments:

Post a Comment